Ayat suci al-Quran pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w ialah menyeru umat Islam membaca; “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-Alaq: 1-5)
Malangnya, kebanyakan umat Islam tidak mematuhi apa yang Tuhan perintah. Diturunkan kitab suci al-Quran sebagai panduan hidup mereka abaikan dan tidak memahami dan mengkaji kandungannya. Mereka memilih bacaan yang kurang memberi munafaat. Akhirnya, ilmu yang ada di dalam al quran dibaca dan dikaji oleh pihak bukan Islam untuk mencapai kemajuan dan kekuatan. Sedangkan umat Islam dimana pun jua sentiasa berada di dalam keadaan lemah dan terdedah kepada cacian dan penghinaan.
Tabiat Membaca dikalangan KIta
Menurut kajian, kadar tabiat membaca di kalangan masyarakat Malaysia berada pada tahap 87 peratus tetapi bahan bacaan yang mereka pilih bukan berbentuk ilmu pengetahuan. Jauh sekali buku-buku bercorak keagamaan. Mereka lebih suka memilih bahan bacaan ringan dan berbentuk hiburan. Kebanyakan mereka juga jarang atau tidak pernah langsung mengunjungi perpustakaan untuk tujuan membaca, merujuk atau meminjam buku kecuali para pelajar atau guru.
Kebiasaan menggunakan perpustakaan untuk membaca atau meminjam bahan-bahan bacaan masih belum menjadi budaya di kalangan masyarakat kita.
Bagi kebanyakan daripada kita perpustakaan adalah untuk pelajar-pelajar atau guru-guru sahaja.
Mewujudkan suasana berilmu di rumah dengan mengadakan perpustakaan mini untuk keluarga memang tidak ada dalam ingatan atau perancangan sama sekali.
Kalau kita membeli almari sama ada yang kecil atau besar, yang antik atau tidak antik, niat kita ialah untuk mengisi barang-barang hiasan terutama pinggan mangkuk berjenama , barang-barang kristal atau barang-barang hiasan mahal yang kita fikir boleh menaikkan imej atau kedudukan kita di mata masyarakat.
Kalau kita membelinya dari luar negara perasaan kita akan lebih bangga kerana barang hiasan tersebut hanya berada di rumah kita, tidak ada pada rumah orang lain.
Pergilah ke mana-mana rumah, sama ada rumah orang-orang Melayu atau bukan Melayu, lebih-lebih lagi rumah besar yang tersergam indah almari di ruang tamu atau di ruang tengah pasti akan terisi dengan barang-barang hiasan yang dibeli dari dalam negara atau luar negara.
kita suka perkara picisan
Kalau tetamu datang ke rumah, kita lebih suka bercakap soal-soal yang berkaitan dengan barang perhiasan yang kita beli termasuk pinggan mangkuk berjenama, langsir, perabot dan lain-lain. Jarang sangat kita akan bercakap soal-soal yang berkaitan dengan buku-buku terbaru yang berada dipasaran, buku-buku yang pernah dibaca atau majalah-majalah agama yang pernah dilanggani. Jauh sekali bercakap pasal kandungan al quran dan sebagainya.
Kalau ada pun kita hanya akan bercakap mengenai majalah-majalah hiburan yang kita beli dan langgani dan percakapan kita pastilah berkisar tentang kehidupan para artis yang kita minati. Kita hampir tahu nama kesemua artis dan kegiatan mereka terutama yang kerap muncul dalam drama TV atau konsert-konsert hiburan.
Kalau ditanya perkara-perkara yang berkaitan dengan isu semasa, pergolakan politik, peperangan, isu nuklear, ekonomi, perdagangan atau lain-lain mereka akan geleng kepala kerana kurang mengetahui.
Fokus baca dan lihat, kebanyakan daripada kita tidak tertumpu kepada bahan-bahan yang bercorak pengetahuan. Kalau membaca kita memilih bahan-bahan yang berkaitan dengan dunia hiburan dan kalau melihat atau menonton TV, kita memilih program-program yang berkaitan dengan dunia hiburan seperti drama, sinetron, konsert,gosip artis dan sebagainya.
Kebanyakan daripada kita hanya berminat isu-isu yang remeh temeh yang tidak boleh memberi manafaat atau ilmu pengetahuan.
Ada orang berpendapat pada zaman kemajuan IT dan pada ketika kerajaan hendak mencapai wawasan melalui pendekatan Islam elok di ubah sedikit paradigma atau corak pemikiran kita.
Daripada kita sibuk mengambil tahu perkara yang remeh temeh dan perkelahian antara tokoh politik apa salahnya kita memulakan langkah mewujudkan suasana berilmu di rumah dengan mengadakan perpustakaan mini di rumah untuk keluarga.
Wujudkan Perpustakaan
Perpustakaan Negara dalam kempen membacanya memang menggalakan orang ramai mewujudkan sebuah perpustakaan mini di rumah untuk faedah perkembangan ilmu di kalangan ahli keluarga dan masyarakat.
Sejak rancangan Malaysia ke-9, kerajaan memang merancang untuk mewujudkan masyarakat berminda kelas pertama pada masa hadapan untuk menghadapi persaingan diperingkat lokal atau global, maka langkah mencapai status tersebut hendaklah bermula daripada sekarang dengan setiap keluarga berazam untuk mewujudkan suasana keilmuan di rumah masing-masing.
Banyak faedah yang boleh kita perolehi melalui adanya perpustakaan mini untuk keluarga di rumah. Kita bukan sahaja perlu membaca bahan-bahan bacaan yang sihat tetapi perlu menjadikan tabiat membaca sebagai amalan dan budaya kita.
Dengan adanya perpustakaan di rumah kita boleh berkumpul sesama keluarga di bilik bacaan atau di sudut-sudut bacaan, berbincang dan berhahas sesuatu isu atau masalah secara intelektual.
Anak-anak kita yang sedang belajar di sekolah menengah, kolej-kolej atau universiti boleh membuat rujukan mana yang perlu untuk kebaikan pelajaran mereka.
Manfaat Kita
Antara manafaat yang boleh kita dapat dengan mewujudkan perpustakaan mini di rumah ialah:
- Menanam minat membaca berterusan di kalangan ahli keluarga.
- Mendedah keluarga kepada bahan-bahan bacaan bermaklumat dan sumber ilmu pengetahuan.
- Menanam sikap menghargai bahan bacaan dan ilmu di kalangan keluarga.
- Meningkat kemahiran berfikir dan menganalisa sesuatu isu.
- Menanam sikap suka membantu di kalangan keluarga dalam proses pembelajaran.
Dalam kajian Perpustakan Negara beberapa tahun lalu, hanya 29 peratus rakyat Malaysia menggunakan perpustakaan yang diwujudkan oleh kerajaan atau pihak berkuasa tempatan. Yang memiliki perpustakaan di rumah hanya terdiri daripada mereka yang sukakan buku dan mengetahui serta menyedari kepentingan perpustakaan.
Pembacaan yang dimulakan di rumah merupakan titik awal untuk mewujudkan sikap sukakan buku dan ilmu. Perpustakaan keluarga di rumah adalah saluran berkesan untuk menanam minat membaca di kalangan ahli keluarga.
Perpustakaan keluarga boleh menjadi tempat penting untuk menimba ilmu di kalangan keluarga dan saluran yang amat berkesan untuk menerapkan minat cintakan ilmu. Bahan yang dibeli, dibaca atau dihasilkan oleh ahli keluarga hendaklah disusun secara sistematik untuk mudah dikesan atau dicari apabila diperlukan.
Mewujudkan masyarakat berilmu atau yang mementingkan ilmu bukan kerja mudah tetapi tidak mustahil dicapai kalau kita beriltizam melakukannya
No comments:
Post a Comment