keluatga sakinah

Keluarga yang dekat dengan Allah akan menjadi keluarga yang layak ditolong olehNya dalam setiap urusannya.

Tuesday, May 11, 2010

Penawar dikala Penat


Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di rumah mahupun di tempat kerja, bolehlah jadikan petua yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada puteri kesayangannya Saidatina Fatimah sebagai penawarnya.

Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti. Saidina Ali berkata :

“Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantu mu.”

Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah. Bagaimanapun Rasulullah s.a.w. tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda s.a.w. pergi menemui puterinya serta menantu itu. Baginda s.a.w. berkata:

“Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur, bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam.”

Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w. ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua. Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah.s.a.w. ini. Katanya

“Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia diajarkan kepadaku.”

Sayugia dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca ‘Subhanallah’ (33 kali), ‘Alhamdulillah’ (33 kali) dan ‘Allahuakbar’ (33 kali) pada setiap malam is itu sebelum melelapkan mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan), Insya- Allah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan-bebanan hidup seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyum

Thursday, May 6, 2010

Didiklah sedari kecil


Terlalu kerap kita mendengar ungkapan ‘anak umpama kain putih, ibu bapa adalah pencoraknya’. Begitu juga ungkapan lama seperti ‘bapa borek anak rintik’, ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya´, ´bagaimana contoh begitulah gubahannya´, ´bagaimana ditanam, begitulah dituai´, ´bagaimana rupa begitulah bayangnya´, dan banyak lagi. Ungkapan pepatah dan peribahasa lama ini dengan jelas menyatakan bahawa bagaimana kita mendidik si cilik, begitulah nanti dewasanya si cilik dengan didikan kita.

Ungkapan itu juga menjelaskan betapa didikan yang pelbagai untuk anak-anak bakal memanusiakan mereka atau menjadikan mereka bukan manusia. Istilah memanusiakan anak-anak memerlukan kefahaman yang tinggi bukan sahaja dari sudut material malahan paling penting kefahaman dari aspek mental.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda; “Tahukah engkau siapakah yang mandul?”

Para sahabat menjawab; “ Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak.”

Lalu Rasulullah s.a.w berkata ; Orang yang mandul ialah orang yang memepunyai banyak anak tetapi anak-anaknya tidak memberi manfaat kepadanya sesudah ia meninggal dunia.

Firman Allah s.w.t melalui surah al-A’raaf ayat 58 bermaksud;

“Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut…”

Meninjau kisah Imam Abu Hanifah (Hanafi An Nu’man), seseorang pernah bertanya kepada bapa Imam Abu Hanifah. “Tuan, bagaimanakah tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya?". Jawab bapa Imam Abu Hanifah “Aku didik Hanafi 40 tahun sebelum dia dilahirkan”.

Ini bermakna, bapa Imam Hanifah telah menyiapkan dirinya yang terbaik agar anak yang dilahirkan kelak mewarisi kebaikan dan akhlaknya. Hal ini harus dipandang berat oleh ibu bapa masa kini yang beranggapan bahawa pertalian mereka dan anak-anak hanya atas dasar pertalian darah semata.Sebenarnya ia lebih dari itu.

Dalami juga nasihat-nasihat berguna Luqman Al-Hakim kepada anaknya ketika mereka sedang dalam sebuah perjalanan yang jauh. Luqman Al-Hakim adalah seorang hamba yang miskin, namun telah mengayakan anaknya dengan nasihat-nasihat yang berguna sehingga nasihat beliau diwahyukan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran dan menjadi sebahagian ilmu yang berguna kepada umat Islam hari ini.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda bermaksud;

"Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis tersebut memberi maksud seperti pepatah lama Melayu di atas iaitu ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’. Ini bermakna tugas ibu bapa bukan sahaja mendidik diri sendiri menjadi manusia yang baik, malah mendidik anak sejak di dalam kandungan sehingga ia lahir ke dunia.

p/s: sekadar berkongsi untuk pengetahuan kita semua...mungkin ade yang bakal bergelar ibu, bergelar bapa, bakal mendirikan rumah tangga...segalanye bermula dari dalam diri kita sendiri...sama2lah kita menilik diri kita dan bermuhasabah..inshaAllah

sumber:Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Sunday, May 2, 2010

Lelaki yang ditarik Perempuan ke dalam Neraka

Ayah
Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat.

Suami
Apabila seorang suami tidak memperdulikan tindak-tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram dan apabila suami mendiam diri. Walaupun dia seorang alim (solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal) maka dia akan ditarik oleh isterinya.

Abang
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke pula kepada abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM...Tunggulah tarikan adiknya di akhirat.

Anak Lelaki
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari islam, maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak...nantikan tarikan ibunya.

Kepada golongan lelaki, cuba lah sebaik mungkin untuk melaksanakan tanggungjawab kalian.

Kepada golongan wanita, sama-sama lah meringankan bebanan yang ditanggung oleh golongan lelaki.

Bukankah kita diciptakan untuk sama-sama membantu dan nasihat-menasihati??